[Retro] Westerveld Masih Belum Lupa, Sifatkan Tindakan Liverpool Sebagai Kejam
Eropah
TeamTALK
Advertisements

Bekas penjaga gol Liverpool, Sander Westerveld menyifatkan pengakhiran kariernya bersama kelab itu sebagai sesuatu kejam dan langsung tidak boleh difahami.

Dia ditendang keluar oleh kelab Merseyside itu tiga bulan selepas tampil sebagai salah seorang watak utama menghadiahkan treble bersejarah kepada mereka pada 2001.

Sejak menyertai Liverpool pada 1999 sebagai pengganti kepada David James, Westerveld telah membuat lebih 100 penampilan dalam jersi the reds sehinggalah kejayaan merangkul trofi Piala FA, Piala Liga dan Piala UEFA pada penghujung musim 2000/2001.

Advertisements

Bagaimanapun, dia mendapati dirinya tidak lagi diperlukan apabila saingan musim baru 2001/2002 bermula, tatkala Gerard Houllier mendapatkan dua penjaga gol baru Jerzy Dudek dan Chris Kirkland pada hari terakhir pintu perpindahan musim tersebut.

“Saya tahu apa yang berlaku, tetapi sehingga kini saya tidak dapat memahaminya. Sejak hari pertama (musim baru) Houllier memberitahu kepada media bahawa saya perlu lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan bolasepak inggeris.

“Nampak sangat itu adalah kritikan terbuka sepertimana dialami penjaga gol Liverpool yang lain, dan ini meletakkan mereka dalam tekanan tinggi.

Advertisements

“Walaupun saya tidak pernah sekalipun rasa tertekan, tapi saya boleh lihat dan dengar kritikan. Saya bermula dengan baik pada musim pertama, ketika umur saya 24 tahun, dan lazimnya penjaga gol akan bertambah baik pada setiap tahun,” katanya dipetik dari Planet Football.

“Pada musim pertama kita mencatat rekod defensif terbaik di EPL dan pada musim kedua kita memenangi treble. Saya menunjukkan peningkatan, tetapi, pada hari pertama pra-musim itu sendiri sudah kedengaran Liverpool mahu membawa masuk penjaga gol baru.

“Ia normal, saya tidaklah gementar atau takut kehilangan tempat kerana saya tahu saya sedang dalam prestasi yang baik.

Advertisements

“Saya cuma melakukan satu kesilapan ketika menentang Bolton pada perlawanan kedua liga, menyebabkan kami kalah 1-2. Ketika itulah spekulasi kemasukan Dudek bertambah kencang.

“Selepas perlawanan itu, rehat minggu antarabangsa dan saya telah bersama pasukan Belanda, ketika itulah Liverpool membeli penjaga gol baru, bukan seorang tapi dua. Ia tamparan besar buat saya.

“Kalau mereka bawa masuk seorang, katalah Dudek, tentu saya kekal dan bersaing mempertahankan posisi saya. Tapi saya patah hati bila mereka beli dua penjaga gol malah tidak membawa saya bersama untuk perlawanan Liga Juara Eropah di tempat lawan. Jadi nombor tiga pun tidak.

Advertisements

“Kiranya dari nombor satu saya sudah jatuh ke nombor empat, ia umpama mimpi ngeri, tidak ada apa yang boleh saya buat. Saya tak diberi peluang untuk kembali ke dalam skuad selepas kekalahan kepada Bolton itu, dan mereka memberi satu gambaran jelas saya tidak diperlukan.

“Bagi saya ia tindakan yang sangat kejam, tapi apa boleh saya buat. Pada hakikatnya saya tidak pernah terfikir akan meninggalkan Liverpool dengan cara seperti ini, saya seorang yang berkeyakinan tinggi, saya tahu apa yang saya buat.

“Memang saya lakukan kesilapan, tetapi semua penjaga gol pun melakukan kesilapan, untuk dihukum sedemikian rupa kerana satu kesilapan membuatkan saya masih tidak faham, bukannya saya tidak pernah menyumbang, saya adalah kekuatan mereka, nombor satu untuk dua tahun, hadiahkan mereka trofi, tapi sayang perkara seperti ini berlaku dalam bolasepak.”

Sebagai rekod, Sander Westerveld dijual kepada Real Sociedad pada Disember 2001.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram