‘Reunion’ JDT Berlaku Di KL City
MakanBola
KL City FC

Kuala Lumpur City FC (KL City) menarik perhatian ramai selepas menyenaraikan beberapa pemain yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2025-2026.

Antara yang sah menyertai KL City secara pinjaman daripada JDT ialah Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Manuel Hidalgo. Ketiga-tiga mereka merupakan pemain yang turut dipinjamkan JDT ke pasukan lain pada musim lalu.

Turut menyertai pasukan ibu kota secara tetap ialah dua pemain berpengalaman yang beraksi bersama Sri Pahang FC musim lalu iaitu Adam Nor Azlin dan Syazwan Andik. Kedua-duanya pernah bergelar tonggak utama JDT dan juga Harimau Malaya suatu ketika dahulu.

Menambahkan lagi dimensi menarik dalam pasukan KL City, laporan daripada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, mendedahkan bahawa Endrick Dos Santos juga bakal menyertai kelab itu. Jika benar, ini akan menjadikan jumlah bekas pemain JDT di KL City kepada enam orang.

“Kpah Sherman, Endrick Dos Santos lengkapkan senarai 30 pemain KL City musim 2025/2026. Difahamkan kedua-dua pemain ini bakal mulakan latihan dalam tempoh waktu terdekat,” kongsi Fina Nasrom di laman X.

Fenomena ini menandakan pendekatan serius KL City dalam memperkuatkan pasukan untuk musim baharu. Malah, sebahagian daripada pemain ini pernah bergandingan di peringkat kelab dan antarabangsa, menjadikan proses penyesuaian dalam skuad baharu lebih mudah.

Keserasian sedia ada boleh menjadi aset penting kepada jurulatih untuk mengatur strategi pasukan. Untuk musim 2025, KL City FC akan dikendalikan oleh pengendali berpengalaman kelahiran Serbia, Risto Vidakovic, yang sebelum ini pernah melatih Melaka United FC.

Beliau turut memiliki pengalaman luas dalam dunia kejurulatihan, termasuk bersama beberapa kelab di Asia Tenggara dan Sepanyol menjadikan beliau aset penting dalam usaha KL City membentuk pasukan lebih kompetitif musim ini.