Penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya melihat baki dua aksi Liga Super sebagai peluang pemain membina karier mereka pada musim hadapan.
Aksi terbaru liga menyaksikan Kelantan DN dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 April lalu.
Bergson da Silva, Romel Morales, Shahrul Saad dan Safiq Rahim masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.
Meskipun tewas dengan jaringan besar, Rezal memuji usaha keras yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan.
Beliau berharap komitmen tersebut dapat dikekalkan untuk baki dua aksi liga membabitkan Sang Kijang Emas. Ini kerana usaha mereka bakal membantu mendapatkan pasukan baru untuk musim 2025/26.
“Fikir tentang masa depan, sekarang keadaan kita macam ini. Jangan macam orang kata hanya nak duduk diam sahaja,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan baru-baru ini.
“Fikirkan masa depan, ada lagi beberapa perlawanan. Cuba tunjukkan kebolehan mereka yang terbaik, semoga mereka boleh mendapat tawaran yang lebih baik pada masa depan contohnya.
“Kita pun tak boleh ramal apa yang akan berlaku pada musim seterusnya. Kelantan DN pun ada perancangan tahun depan, kita kena tunggu.”
Selepas ini, Kelantan DN bakal berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 13 April.