Pemain pertahanan muda Malaysia, Richard Chin menyatakan keinginan untuk kekal beraksi di Eropah.
Nama pemain berusia 21 tahun itu mula mencuri tumpuan penyokong Harimau Malaya apabila beraksi untuk pasukan lamanya, Charlton Athletic
Minat penyokong semakin bertambah apabila Richard menyertai sesi latihan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) pada September 2023.
Sebelum menyertai kelab barunya, Farnborough, ramai peminat bola sepak negara tertanya-tanya sama ada bekas pemain Dartford itu akan kekal di Eropah atau mencuba nasib di Asia.
Kini, persoalan itu terjawab menerusi satu video soal jawab Richard yang dikongsikan Future Talents baru-baru ini.
Beliau memaklumkan beliau mahu kekal beraksi di Eropah terutama di England dan fokus membina kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Buat masa ini, saya mahu kekal di Eropah dan mengambil kesempatan daripada peluang berkenaan demi karier saya terutama di England,” katanya.
Sejak menyertai pasukan yang dibimbing Spencer Day itu, Richard sudah merekodkan sembilan penampilan dan empat gol dalam saingan National League South (divisyen keenam England).
Ini termasuk gol dalam aksi terbaru National League South membabitkan Farnborough dan Enfield Town pada 12 Oktober lalu. Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 4-1 buat Farnborough.
Keputusan ini menyaksikan Farnborough menerajui National League South dengan 22 mata, satu mata di hadapan Hemel Hempstead.