Pemerhati bola sepak negara, Dato’ Richard Scully menyambut baik cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemudi Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Sebelum ini, Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh memaklumkan perbincangan untuk meletakkan AMD di bawah kawal selia badan induk itu sedang berjalan.
Meskipun belum ada kata putus dicapai tentang hal tersebut, beliau percaya jika AMD dikemudi FAM, ini akan memberi manfaat kepada bola sepak negara.
Apabila diminta mengulas perkara itu, Richard menyambut baik cadangan tersebut. Ini kerana beliau melihat gagasan ini mampu memberi nilai tambah kepada skuad Harimau Malaya.
“Kita mungkin mengharapkan sedemikian sebab ia mungkin ada dalam hala tuju F:30. Mungkin dalam hala tuju F:30 mungkin akan menggambarkan pada penghujung fasa dari segi pembangunan, akar umbi dan sebagainya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Seperti mana kita tahu, bola sepak negara kita sedang menuju ke arah transformasi besar.
“Kalau menjurus situ, kena ada bekalan berantai yang menjurus ke situ. Maka, pembangunan harus diberi penekanan sedemikian.”
Ketika ini, proses kawal selia AMD diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Negara (MSN).