Pemain baru Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Ridzwan Bakri tidak dapat menyembunyikan kegembiraanya semalam.
Ini kerana Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Futsal Malaysia 2023 itu bukan saja membantu JDT meraih kemenangan 6-1 ke atas Gombak TOT United.
Malah, Ridzwan yang mesra disapa Iwan itu turut mencipta nama sebagai penjaring. Azri Rahman dan Muhammad Saad Abdul Sani masing-masing mencetak dua dan tiga gol dalam perlawanan sama.
Mengakui tidak berdepan masalah mencipta keserasian bersama rakan sepasukan barunya itu, beliau berharap momentum hari ini dapat diteruskan dalam perlawanan berikutnya.
“Alhamdulillah, selama tiga minggu ini kami fokus dalam pasukan sebab kita lambat masuk dan sertai latihan kan. Alhamdulillah, kita dapat cari keserasian untuk perlawanan pertama,” katanya kepada UltraSukan selepas tamat perlawanan semalam.
Kejayaan semalam menyaksikan JDT dan Terengganu berkongsi kedudukan pendahulu Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2024.
Ini selepas Terengganu membelasah KL City FC 6-1 dalam satu lagi aksi MPFL di Kuala Terengganu.