Rodri Muncul Pemenang Ballon d’Or, Atasi Vinicius Jr
MakanBola
Manchester City

Pemain tengah Sepanyol dan Manchester City, Rodri sah bergelar pemenang Ballon d’Or 2024.

Pemilik nama Rodrigo Hernández Cascante itu menewaskan dua bintang Real Madrid, Vinicius Jr dan Jude Bellingham untuk anugerah berkenaan.

Ad

Rodri menjadi pilihan selepas membantu Sepanyol muncul juara EURO 2024. Beliau turut membantu The Citizens muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia FIFA.

Ad

Rodri turut mencipta sejarah menjadi pemain Sepanyol pertama yang menerima Ballon d’Or sejak tahun 1960. Kali terakhir anugerah ini dimenangi pemain Sepanyol ialah pada tahun 1960 menerusi Luis Suarez.

Atas sebab itu, beliau melihat anugerah ini sebagai pengiktirafan kepada bola sepak Sepanyol.

Ad

“Hari ini kejayaan ini bukan saja untuk saya tetapi untuk bola sepak Sepanyol. Untuk semua pemain yang tidak memenanginya dan layak mendapatnya seperti (Andres) Iniesta, Xavi (Hernandez), Iker (Cassilas), Sergio Busquets dan ramai lagi.

Ad

“Ini untuk bola sepak Sepanyol dan untuk semua figura di bahagian tengah,” katanya seperti yang dilaporkan BBC Sport.

Ad

Rodri ketika ini berehat panjang selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal pada 22 September lalu.

Bila ditanya tentang keadaan terkini, beliau memaklumkan beliau kini menghabiskan masa terluang bersama keluarga. Pada masa sama, Rodri berharap dapat kembali pulih untuk membantu The Citizens.

“Saya cuba menjaga diri saya sendiri. Berehat, menikmati masa terluang dengan keluarga saya dan kembali menyertai pasukan dengan lebih kuat,” katanya.

Real Madrid dan jurulatih mereka, Carlo Ancelotti masing-masing dipilih sebagai kelab terbaik dan jurulatih lelaki terbaik. Walau bagaimanapun, Los Blancos memilih tidak menghadiri acara Ballon d’Or sebagai tanda protes selepas Vinicius Jr tidak dipilih sebagai pemenang.

Sementara Kylian Mbappe dan Harry Kane berkongsi anugerah Gerd Muller. Ini selepas kedua-duanya meledakkan 52 gol dalam semua pertandingan untuk Paris Saint-Germain dan Bayern Munich.