Advertising
Rompakan Terbesar Liga Perdana Inggeris?
Dunia
MakanBola
Tottenham Hotspur

Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Tottenham Hotspur-Brighton & Hove Albion sepatutnya diingati atas sebab Son Heung-min menjaringkan golnya yang ke-100 dalam liga. Tetapi bagi ramai penyokong Seagulls, pasukan dinafikan peluang mengutip tiga mata penuh di Stadium Tottenham Hotspur oleh pengadil.

Jika dibandingkan dengan tuan rumah, anak-anak buah Roberto De Zerbi mendominasi perlawanan dengan 17 percubaan berbanding Spurs (sembilan percubaan). Malah, mereka juga membolosi gawang Tottenham sebanyak tiga kali tetapi hanya satu yang dikira oleh pengadil.

Ad

Salah satu keputusan gol yang menimbulkan kemarahan Brighton ialah gol awal Kaoru Mitoma pada minit ke-17. Pembantu Pengadil Video (VAR) memutuskan gol tersebut tidak dikira kerana mendakwa ia terkena lengan pemain sayap Jepun itu.

Ad

Bagaimanapun, Seagulls mendakwa bola bukannya terkena lengan tetapi terkena dada Mitoma semasa gol itu dijaringkan. Di sebalik bantahan oleh pemain pelawat, gol tersebut tidak dikira dan Brighton masih ketinggalan 1-0 kepada Tottenham yang mendahului menerusi Heung-min pada minit ke-10.

Satu lagi insiden yang gagal dibangkitkan VAR ialah terjahan keras Pierre-Emile Hojberg ke atas Mitoma dalam kotak penalti. Biarpun ia sememangnya jelas satu kekasaran dan turut dinyatakan oleh pengulas perlawanan Steve Wilson, pengadil Stuart Attwell tidak diminta untuk melihat semula insiden berkenaan di monitor oleh VAR.

Ad

Disebabkan dua keputusan ini, Spurs kemudiannya memenangi perlawanan 2-1 menerusi Harry Kane. Tetapi bagi ramai penyokong Seagulls dan legenda bola sepak, pasukan pelawat dinafikan peluang mengutip tiga mata.

Ad

Bagi legenda Newcastle United, Alan Shearer, kualiti VAR dalam perlawanan tersebut amat teruk. “Saya kasihan dengan penyokong-penyokong Brighton. Kita mungkin tidak cukup ulang tayang video (insiden gol tangan Mitoma) tetapi mereka (Tottenham) terlepas,” katanya dalam program BBC, Match of the Day.

Ad

Manakala bekas penyerang Chelsea, Chris Sutton pula berpandangan ketua badan pengadil profesional (PGMOL) Howard Webb dijangka bakal memohon maaf sekali lagi kepada Brighton atas apa yang berlaku.

“Brighton telah dirompak tengah hari ini (malam Sabtu waktu Malaysia). Sekurang-kurangnya, dua keputusan buruk dinafikan terhadap (Kaoru) Mitoma. (Ketua pengadil), Howard Webb akan memohon maaf kepada mereka sekali lagi, saya amat pasti! Memang teruk,” tulisnya di akaun Twitternya semalam.