Penyerang muda Muangthong United, Ronaldo Kwateh kembali membarisi skuad kebangsaan Indonesia.
Ini selepas Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan senarai 31 pemain yang dipanggil untuk menghadapi cabaran ASEAN Cup 2024.
Selain Ronaldo, pengendali Indonesia, Shin Tae-yong turut memanggil enam lagi pemain yang berpangkalan di luar negara untuk kejohanan tersebut.
Enam pemain tersebut ialah Marselo Ferdinan, Rafael Struick, Asnawi Mangkualam, Pratama Arhan, Justin Hubner dan Ivar Jenner.
Ini kali ketiga Ronaldo menyertai kem Timnas Indonesia. Penyerang berusia 20 tahun itu berharap dapat menambah koleksi dua penampilan antarabangsa yang diraih pada 2022.
Beberapa pemain dijangka lewat menyertai kem Tim Garuda. Hal ini dikongsikan pengurus pasukan Indonesia, Sumardji.
Sesetengah pemain seperti Pratama dijangka menyertai kem pada 29 November. Manakala Struick pula hanya dilepaskan kelabnya, Brisbane Roar jika Indonesia layak ke peringkat separuh akhir.
“Soal panggilan pemain yang pemain di kelab luar negeri, kita masih menunggu, saya selalu komunikasi aktif dengan kelabnya.
“Kita akan tunggu nanti kerana ada juga seperti Arhan akan menyertai kem setelah 29 (November). Sehingga kita akan lihat nanti perkembangannya sampai kita berangkat pada 5 (Desember),” katanya kepada Sripoku.
Indonesia akan membuka kempen ASEAN Cup 2024 dengan menentang Myanmar pada 9 Disember ini.