Gol pertama Cristiano Ronaldo untuk musim 2024/25 ketika menentang Al-Taawoun pada Ogos lalu terus menjadi bualan sehingga hari ini.
Ini kerana gol tersebut memperlihatkan kebijaksanaan legenda Portugal itu memanfaatkan pengalaman dan kelebihan fizikalnya untuk mencipta detik manis buat Al-Nassr.
Kelab yang diberi jolokan Al-Alami itu sudah mendahului seawal minit kelapan menerusi Ayman Yahya. Al-Taawoun berusaha mencari jaringan penyamaan agar dapat mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Selepas perlawanan disambung pada separuh masa kedua, barisan pemain Al-Taawoun cuba menyekat kemaraan Ronaldo.
Malangnya, usaha mereka tidak berhasil di mana legenda Manchester United menggelecek bukan seorang tetapi enam pemain Al-Taawoun. Selepas melepasi pertahanan terakhir lawan, Ronaldo mudah menewaskan penjaga gol, Maylson
Gol tersebut sudah cukup membantu Al-Nassr mara ke final Saudi Super Cup 2024. Walau bagaimanapun, Al-Alami tewas kepada penyandang juara, Al-Hilal.
Gol tersebut turut menjadi pencetus kepada 16 gol yang dijaringkan Ronaldo dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ronaldo juga kini membawa misi mendapatkan 1,000 gol dalam kariernya. Beliau sudah menjaringkan 916 gol dengan gol tersebut dicatatkan ketika menentang Al-Ittihad pada 7 Disember lalu.
Ronaldo berpeluang meneruskan pemburuan golnya apabila Al-Nassr berentap dengan Al-Akhdoud pada 10 Januari ini.