Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengambil inisiatif menggunakan wangnya sendiri untuk membawa staf pasukan itu ke final Liga Europa UEFA (UEL).
Daily Mail melaporkan langkah itu diambil selepas pengurusan The Red Devils memilih untuk tidak memperuntukkan tiket percuma kepada staf dan pegawai pasukan untuk final kejohanan itu.
Ia merupakan sebahagian daripada langkah penjimatan yang dilaksanakan rejim Sir Jim Ratcliffe untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan United.
Situasi ini dilaporkan telah mencetuskan kemarahan staf The Red Devils. Walau bagaimanapun, sumber kelab memaklumkan langkah tersebut bertujuan memberi keutamaan kepada penyokong United.
Ini kerana 90% daripada peruntukan tiket yang diterima kelab itu disalurkan terus kepada penyokong yang terpilih menerusi cabutan bertuah.
Susulan itu, Amorim kemudiannya memaklumkan pengurusan kelab bahawa beliau akan membiayai sendiri tiket untuk 30 staf teknikal dan sokongan United.
Langkah ini membolehkan staf terutama yang berpendapatan rendah dapat membawa rakan atau ahli keluarga menonton aksi final UEL.
Final UEL bakal diadakan di San Mames, Bilbao, Sepanyol. Ramai penyokong United mengharapkan tuah memihak kepada pasukan itu bila beraksi di San Mames.
Ini kerana di sinilah, The Red Devils merekodkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi separuh akhir pertama UEL. United kemudiannya mara dengan keputusan agregat 7-1.