Pengendali Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan pasukannya sebagai yang terburuk dalam sejarah kelab berkenaan.
Beliau meluahkan pandangan tersebut selepas melihat United tewas buat kali ke-10 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangan Brighton.
The Seagulls mencetak gol menerusi Yankuba Minteh, Kaoru Mitoma dan Georginio Rutter. The Red Devils meraih gol saguhati menerusi penalti Bruno Fernandes.
Keputusan ini menyaksikan United kini di tangga ke-13 dengan 26 mata, 10 mata dipisahkan dengan Ipswich Town yang menduduki tangga ke-18 liga.
Amorim mengakui ini bukan sesuatu yang mahu dilihat penyokong The Red Devils ketika ini. Pada masa sama, beliau tetap percaya pasukan itu mampu bangkit selepas ini.
“Dalam 10 perlawanan EPL, kita hanya menang dua kali, saya tahu tentang itu. Bayangkan perkara ini buat penyokong Manchester United, bayangkan perkara ini untuk saya,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
“Jadi, kita dapat seorang jurulatih yang kalah lebih banyak daripada jurulatih sebelumnya, saya tahu tentang hal itu. Macam saya katakan, saya takkan ubah satu perkara pun dan saya tahu kita boleh berjaya.
“Tapi kita mesti lepasi detik ini dan saya bukan naif, saya tahu kita perlu kekal selamat (dalam liga) sekarang. Kita mungkin pasukan terburuk dalam sejarah Manchester United. Tapi kita perlu akuinya dan mengubahnya.”
United kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Europa UEFA (UEL). Mereka bakal berdepan pasukan gergasi Scotland, Rangers pada 24 Januari.
The Red Devils perlu menang baki dua aksi liga UEL jika mahu layak secara automatik ke pusingan seterusnya.