Advertisements
Ruventhiran Digugurkan Dari Skuad Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila terpaksa menyisihkan bek kiri Selangor FC, V. Ruventhiran.

Ini selepas pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan semasa menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. Khabar ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Disebabkan kecederaan itu juga, nama Ruventhiran juga tidak tersenarai dalam barisan pemain yang diturunkan menentang Nepal di Stadium UiTM semalam.

“V. Ruventhiran tiada dalam senarai skuad negara untuk aksi pemanas badan lawan Nepal, difahamkan sudah digugurkan akibat kecederaan,” katanya di X.

Berita ini juga dijangka memeningkan pengendali skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Juan Torres Garrido.

Ini kerana Ruventhiran merupakan sebahagian daripada skuad B-23 negara yang berjaya layak ke Piala Asia B-23 2024.

Tanpa kelibat bekas pemain pertahanan PJ City FC itu, Garrido dijangka memilih pemain alternatif untuk mengisi posisi bek kiri.

Kem latihan Harimau Muda bakal bermula pada 17 Mac ini dengan 17 pemain sudah dipanggil. Barisan pemain B-23 yang tidak dipilih untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman akan diserap masuk ke kem berkenaan.