Jaguh muda negara, Miki Ghazali berjuang habis-habisan sebelum terpaksa akur dengan kehandalan pesaingnya dari Jepun, Ryu Hanaoka.
Miki berdepan Hanaoka untuk aksi saingan Rise World Series 2025 yang diadakan di Yokohama, Jepun.
Pertarungan ini disifatkan mencabar buat Miki. Ini kerana beliau berstatus bukan pilihan jika dibandingkan dengan Hanaoka yang berstatus juara KNOCK OUT Black Super Flyweight.
Meskipun begitu, Miki pernah mencipta kejutan dengan menewaskan lawan yang lebih senior. Beliau pernah menewaskan jaguh Maghribi, Said El Matador dalam aksi Wilayah Pahlawan International Championship pada Februari lalu.
Ini terbukti apabila Miki berjaya memberi saingan sengit kepada Hanaoka sepanjang tiga pusingan aksi Rise World Series.
Malah, apabila juri mengisytiharkan kemenangan milik jaguh Jepun itu, riak wajah Hanaoka kelihatan letih tatkala tangannya diangkat oleh pengadil.
Meskipun tewas, Miki yang juga adik kepada jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali dilihat terus membuktikan dirinya sebagai jaguh hebat pada usia 16 tahun.