S. Subramaniam Puji Kualiti Chrigor Moraes
MakanBola
Selangor FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, S. Subramaniam memuji kualiti yang dimiliki penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes.

Sejak menyertai Selangor pada awal musim 2025/26, penyerang Brazil itu membuktikan dirinya sebagai peledak berbisa dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Chrigor kini menjaringkan 28 gol dan mencipta lapan bantuan gol dalam 31 perlawanan musim ini termasuk Shopee Cup dan ACL2.

Subramaniam percaya hal ini dibantu dengan kepantasan beliau membuat larian ketika melancarkan serangan ke atas pihak lawan.

“Dia mempunyai kepantasan yang luar biasa yang dapat menghasilkan peluang jaringan, membuat jaringan dan ini yang meyebabkan pasukan lawan menghadapi kesukaran.

“Dia bukan sahaja menjaringkan gol melalui larian, dia pernah menjaringkan gol melalui tandukan,” katanya semasa menjadi panel XI Sebelas Utama.

Subramaniam turut menyarankan Selangor mencari seorang lagi penyerang sebagai sokongan kepada Chrigor.

Ini kerana pada hemat beliau, ini akan membantu kempen pasukan itu untuk baki musim 2025/26.

“Pasukan Selangor sepatutnya mempunyai satu lagi penyerang jika apa-apa terjadi kerana perjalanan liga sudah masuk separuh musim.

“Jika Selangor ingin mencapai sesuatu dalam liga, mereka sepatutnya membawa masuk satu lagi penyerang jika apa-apa terjadi untuk Chrigor,” ujarnya.

Bisa bekas penyerang Buriram United itu bakal menjadi taruhan Selangor untuk aksi Shopee Cup menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN FC).