Sabah FC secara rasmi menamatkan kontrak penyerang import sensasi The Rhinos, Ramon Machado.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik pasukan Sabah hari ini, pengurus pasukan Md Joh Wid memaklumkan bahawa kontrak Ramon dan Sabah ditamatkan atas persetujuan bersama. Pemain kelahiran Brazil ini telah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan pasukan selepas berjumpa dengan pihak pengurusan Sabah.
“Ramon telah menemui saya dan mengemukakan sebab-sebab dia memohon untuk menamatkan kontrak. Setelah berbincang dan meneliti dengan mendalam bersama pengurusan tertinggi kelab, maka kami telah bersetuju menerima permohonan tersebut.”
“Ini bermakna, kontrak Ramon Machado yang sepatutnya berakhir pada 30 April 2025 akan tamat berkuat kuasa bermula 7 Julai 2024 atas dasar persetujuan bersama,” ujar Md Joh Wid.
Kehadiran Ramon ke Sabah sejak Julai tahun lalu telah memberi banyak impak buat skuad kendalian Ong Kim Swee. Sabah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas pengorbanan Ramon sepanjang bersama pasukan.
“Bagi pihak kelab dan seluruh warga Sabah FC, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ramon atas sumbangan beliau terhadap pasukan yang kita cintai ini. Sejak penampilan pertama beliau, Ramon telah beriaya menambat hati penyokong The Rhinos dengan jaringan jaringan cantik dan ‘assist’ beliau.
“Sudah pasti kita akan merindui gerakan pantas dan lincah pemain asal Brazil ini di padang terutamanya gelanggang keramat Stadium Likas.”
Untuk rekod, sejak sertai Sabah pada Julai 2023, kehadiran Ramon telah memberi banyak kelibihan buat barisan serangan pasukan Sabah sejak bermulanya jendela kedua Liga Super 2023 dan kejohanan Piala AFC.
Impak penyerang berusia 33 tahun ini cukup besar apabila beliau merekodkan 13 gol daripada 20 penampilan bersama The Rhinos dalam semua kejohanan. Ramon Machado juga menjadi watak penting Sabah dalam menamatkan kempen Liga Super di tempat ketiga pada musim lepas.