Pengurusan Sabah FC berhasrat mendapatkan penyerang import baharu bagi menambah ketajaman jentera serangan pasukan itu.
Hasrat itu dizahirkan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya dalam satu kenyataan media yang disiarkan di platform rasmi Sabah.
Skuad Badak yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee berdepan kesukaran menjaringkan gol sejak kebelakangan ini. Ini kerana Sabah hanya menjaringkan tujuh gol dalam lima perlawanan terakhir.
Ketumpulan jentera serangan Sabah menyebabkan pasukan itu gagal meraih kemenangan bila bertemu dengan KL City FC pada 31 Julai dan Selangor FC pada 13 Ogos lalu.
Situasi ini tidak dibantu dengan pemergian penyerang import Brazil, Ramon Machado. Sementara Saddil Ramdani pula tidak dapat diturunkan sejak beberapa perlawanan lalu akibat masalah kecederaan.
Manakala penyerang Harimau Malaya, Darren Lok masih memburu gol keduanya musim ini. Kali terakhir penyerang berusia 33 tahun itu merobek gawang lawan ialah aksi menentang Kuching City FC pada 25 Mei lalu.
Berdasarkan statistik semasa, Jafri Firdaus Chew muncul penjaring terbanyak Sang Badak dengan tiga gol. Ini disusuli oleh Daniel Ting dan Gabriel Peres yang masing-masing meledakkan dua gol.
Tidak mahu pasukan itu ketinggalan dalam liga akibat masalah itu, Shahelmey memaklumkan SAFA telah meluluskan permohonan Sabah mendapatkan penyerang import baru.
Ketika ini, pengurusan skuad Badak menjalankan proses pemilihan bagi menentukan penyerang mana yang sesuai dengan corak permainan yang diterapkan Kim Swee.
Identiti penyerang yang terpilih akan didedahkan sebaik tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) dibuka hujung bulan ini.
“Pengurusan tertinggi telah mendengar laporan yang dikemukakan oleh Sabah FC tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan usaha memperkuat pasukan termasuk mengambil kira saranan para penyokong.
“Berikutan dengan itu kita telah meluluskan penambahan seorang pemain import untuk menajamkan jentera serangan. Setakat ini proses penilaian beberapa profil pemain penyerang yang telah dikemukakan oleh beberapa ejen sedang dilakukan.
“Identiti pemain yang terpilih akan diumumkan secara rasmi sebaik sahaja proses pemilihan selesai. Pemain ini bakal didaftarkan semasa pintu perpindahan yang akan dibuka pada hujung Ogos,” katanya dalam satu kenyataan.
Sekiranya proses pemilihan berjalan lancar, penyerang tersebut bakal menjadi pemain import baru kedua menyertai Sabah. Sebelum ini, Sang Badak merekrut bek tengah berdarah Greece-Australia, Haris Stamboulidis pada awal musim 2024/25.