Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) hari ini mengumumkan kemasukan pemain import terbaharu iaitu Taiki Kagayama bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan musim 2022.
Pemain kelahiran Jepun ini mempunyai pengalaman beraksi di pentas Eropah bersama kelab Inter Turku, Musan Salama dan Kokkolan Palloveikot yang bermain dalam saingan Liga Utama dan Premier di Finland (Veikkausliiga).
Pemain berusia 25 tahun ini beraksi di Finland pada tahun 2019 sehingga 2021. Beliau turut berjaya membuat 67 penampilan serta berjaya menjaringkan 15 gol di Liga Finland.
Taiki Kagayama merupakan produk akademi JFA Academy Fukushima pada tahun 2014 dan kemudiannya beraksi bersama Kansai University daripada 2015 sehingga 2018.
Usianya masih muda, pengalamannya beraksi di pentas Eropah pasti menjadi taruhan jurulatih Sabah FC, Ong Kim Swee dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.