Sabah FC memasang hajat besar dalam saingan Piala Malaysia 2024/2025 apabila mahu melayakkan diri ke final selepas kali terakhir melakukannya 22 tahun lalu.
Perkara tersebut disuarakan sendiri oleh jurulatih Sabah, Martin Stano menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di antara Sabah dan Sri Pahang FC pada Sabtu.
“Semua pihak pasti gembira apabila menyaksikan Sabah ke final, termasuk kami. Kami akan melakukan segalanya untuk memenuhi impian kami dan buat penyokong kami.
“Saya rasa kami sudah bersedia untuk aksi itu. Jadi mari kita melakukannya (layak ke final),” jelas Martin Stano kepada Astro Arena.
Untuk rekod, kali terakhir Sabah melayakkan diri ke final Piala Malaysia ialah pada 2003 di mana menyaksikan Sabah tewas 0-3 kepada MPPJ Selangor.
Dengan Sabah yang kini memiliki skuad penuh, sudah pasti ianya akan menambah motivasi pemain bagi menghadapi Sri Pahang.
Pemenang bagi aksi Sabah dan Sri Pahang akan bertemu di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) ataupun Terengganu FC yang akan menentukan nasib dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Pada satu lagi aksi separuh akhir, JDT menewaskan Terengganu 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Kedua-dua pasukan akan bertemu lagi pada aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Februari depan.