Skuad kebangsaan Borneo hari ini telah melayan kunjungan pasukan Sabah FC dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 2.
Pada minit ke-11 permainan, Ramon Machado telah dijatuhkan pertahanan Brunei di dalam kawasan kotak penalti. Sepakan penalti yang diambil Ramon disudahkan dengan baik untuk gol pertama Sabah.
Pada minit ke-31 permainan, Sabah sekali lagi mengegar jaring pasukan tuan rumah. Bagaimanapun jaringan tersebut dibatalkan pengadil kerana pemain Sabah dikesan berada dalam kedudukan offside.
Anak buah Mario Rivera mendapat peluang keemasan pada minit ke-40 permainan hasil kesilapan pertahanan Sabah. Keberadaan Abdul Azizi mendatangkan cemas apabila beliau memiliki ruang terbuka untuk meledak. Bagaimanapun percubaan Azizi tersasar.
Separuh masa pertama tamat, Brunei 0-1 Sabah.
Bersambung separuh masa kedua pemain, Brunei mula langkah kanan apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan kencang Adi Said. Percubaan Adi tersebut gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.
Pada minit ke-62 permainan, Sabah berjaya mengegar jaring Brunei menerusi Jafri Firdaus Chew. Bagaimanapun jaringan tersebut sekali lagi dibatalkan pengadil kerana beliau berada dalam kedudukan offside.
Kelekaan serta kealpaan pertahanan Brunei telah mengundang padah pada minit ke-69 permainan. Jafri Firdaus Chew akhirnya mencatat nama sebagai penjaring selepas memanfaatkan keadaan kucar kacir dalam kawasan kotak penalti Brunei.
Sebelum tamat perlawanan, hantaran lintang Ummareng disudahkan dengan baik oleh Sappie Ashri memastikan Sabah memenangi perlawanan hari ini.
Keputusan tamat, Brunei 1-3 Sabah.