Advertisement
Safee Sali Cadang Guna Taktikal Bertahan Lawan Kyrgyzstan
Harimau Malaya
MakanBola
PFAM

Bekas penyerang negara, Safee Sali mencadangkan Harimau Malaya menerapkan taktikal bertahan bagi aksi bertemu Kyrgyzstan pada 6 Jun nanti.

Ini berikutan masalah kecederaan yang melanda beberapa pemain serangan dan ketiadaan penjaga gol utama negara, Syihan Hazmi untuk dua aksi Malaysia menentang Kyrygzstan dan Chinese Taipei.

Baki dua perlawanan ini penting buat skuad Harimau Malaya yang kini mengumpul 6 mata selepas bermain 4 perlawanan bagi menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Safee Sali berpandangan skuad negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan Kim Pan-gon dalam mengatur strategi bagi meraih mata semaksima yang boleh.

“Bukan kita perlu menerapkan corak bertahan tetapi dengan ketiadaan pemain sebegini, kita tak pernah tengok Kim Pan-gon buat skuad Harimau Malaya bermain secara bertahan.

“Tetapi dengan ketiadaan pemain yang saya rasa penting di bahagian serangan dan bermain pula di gelanggang lawan, saya rasa mungkin corak bertahan amat sesuai menentang Kyrgyzstan.

“Saya rasa mesti ada perubahan formasi yang dirangka oleh coach Kim Pan-gon sebab bukan saja pemain serangan tetapi Syihan juga tiada dalam pasukan, jadi siapakah yang akan menjadi penjaga gol dalam perlawanan sebesar ini?

“Ada Azri Ghani, Kalamullah dan Sikh Izhan. Saya rasa yang berpengalaman dan yakin untuk diturunkan ialah Kalamullah tetapi itu percaturan Kim Pan-gon.

“Pertahanan juga penting untuk bagi keyakinan kepada penjaga gol baharu di peringkat antarabangsa ini.” tambah Safee Sali dalam program Nindia.

Malaysia akan turun menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun ini manakala aksi melawan Chinese Taipei pula pada 11 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.