Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali percaya Haqimi Azim Rosli memiliki keupayaan menjadi peledak hebat pada masa akan datang.
Pandangan itu dilontarkan Safee selepas melihat KL City FC meraih kemenangan 2-1 ke atas PDRM FC dalam aksi terbaru Liga Super.
Paulo Josue dan Haqimi meledakkan gol buat The City Boys. PDRM pula membalas menerusi pemain import, Chidi Osuchukwu.
Safee melihat Haqimi telah menunjukkan perkembangan bagus untuk musim 2024/25 termasuk beraksi lebih kerap bersama KL City.
Pada masa sama, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut berkongsi nasihat tentang aspek permainan yang perlu diperbaikinya.
Safee percaya jika Haqimi dapat menambah baik aspek-aspek yang dinyatakan, ini akan membantu aspek permainannya untuk jangka masa panjang.
“Kalau kita melihat sepanjang perlawanan, Haqimi hanya mendapat beberapa peluang saja dari segi jaringan. Hanya beberapa pergerakan saja dia terlibat dalam serangan,” katanya semasa menjadi panel Nadi Bola.
“Dia perlu lebihkan lagi penglibatan dalam permainan, lebih kerap mengatasi lawan dalam situasi satu lawan satu. (Dia kena) lebih berani membuat percubaan, dia kena lebih hidup lagi dalam perlawanan.
“Kalau dalam 90 minit perlawanan, kita hanya dia melihat (menyerlah) selama lima minit, itu tidak cukup. Dia harus berusaha lagi agar setiap pergerakan serangan itu melibatkan dia.”
Musim 2024/25 menyaksikan Haqimi sudah menyumbat enam gol dan tiga bantuan gol dalam 25 perlawanan semua kejohanan.
Kemenangan ini melonjakkan KL City ke tangga keenam dengan 25 mata, dua mata di belakang Kuching City FC yang menduduki tempat kelima.