Safee Sali Ramal Kedah Jadi Juara Piala FA
MakanBola
Super Safee Soccer School

Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali menjangkakan Piala FA bakal dijulang pasukan baru untuk musim 2024/25 iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Musim 2022 dan 2023 menyaksikan gelaran juara Piala FA digondol oleh pasukan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).

Trofi tersebut menjadi sebahagian daripada pencapaian empat trofi yang diraih Harimau Selatan untuk dua musim berkenaan.

Meskipun JDT masih dilabel pasukan pilihan untuk musim ini, Safee percaya kejutan bakal dilakar dalam saingan Piala FA kali ini.

Ini kerana semua pasukan yang bersaing dalam kejohanan itu mampu memberi saingan sengit untuk memburu piala berkenaan termasuk Kedah. Atas sebab itu, bekas penyerang KL City FC itu memilih Sang Kenari sebagai calon pilihan juara.

“Piala FA agak susah sedikit (untuk diramal). Sebab mana-mana pasukan boleh (bergelar) juara Piala FA.

“Sudah tentu (salah satu slot) final (akan diisi oleh) JDT. JDT akan lawan KL City atau (pasukan lain). Saya mengharapkan pasukan lainlah sebab Piala FA ini banyak kejutan.

“Saya susah nak pilih mana-mana pasukan. Sebab pasukan yang kuat sekarang adalah Terengganu. Jadi, takkan Terengganu kan? Jadi, saya pilih pasukan lainlah.

“(Saya) bagi peluang (kepada) Kedah untuk menjuarai Piala FA pada tahun ini,” katanya dalam episod terbaru program YouTube, Sports Tarik baru-baru ini.

Kedah bakal membuka kempen Piala FA dengan menentang wakil Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC dalam perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik. Kesemua perlawanan pusingan tersebut akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini.