Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali mengakui terkejut dengan keputusan pengadil, Nazmi Nasaruddin dalam aksi membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024 menemukan Kedah dan JDT di Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu.
Harimau Selatan meraih kemenangan tipis 2-1 menerusi gol lewat penyerang kebangsaan, Romel Morales. Walau bagaimanapun, perlawanan kemudiannya diselubungi kontroversi apabila bola terkena tangan bek tengah JDT, Shahrul Saad dalam kotak penalti.
Meskipun telah merujuk insiden itu dengan pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR), Faizudin Ismail, Nazmi memutuskan untuk tidak menganugerahkan penalti kepada anak buah Nafuzi Zain.
Safee menyifatkan keputusan tersebut mengejutkan kerana bola jelas terkena tangan Shahrul dalam kotak penalti. Atas sebab itu, beliau menyifatkan penalti sepatutnya diberi kepada Kedah dalam aksi berkenaan.
“Saya terkejutlah dengan keputusan yang dibuat Nazmi. Masa gol pertama JDT, kita bicarakan tentang terjahan lembut yang tak patut dilakukan dan dia melakukan keputusan yang baik.
“Tapi dalam situasi dakwaan penalti, itu keputusan yang meragukan sebab itu penalti yang jelas. (Menerusi) VAR ini, kita dapat memastikan keadaan itu betul, pasti atau tidak.
“Selalunya, itu akan memberi kelebihan kepada pasukan menyerang dan memberi masalah kepada pasukan yang bertahan. Benda itu memang terkena tangan (Shahrul)dan itu memang jelas penalti,” katanya semasa menjadi panel perlawanan Kedah-JDT di Astro Arena.
JDT membawa bekalan dua gol untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 3 Ogos ini.