Bekas penyerang Malaysia, Safee Sali tidak sanggup untuk merisikokan pemain sayap lincah, Arif Aiman.
Beliau beranggapan bahawa keputusan untuk memanggil pemain berusia 22 tahun itu saat akhir bertemu Chinese Taipei hanyalah sebagai butang panik.
Safee dalam satu kenyataan kepada Astro Arena menganggap bahawa tindakan itu mustahil susulan tonggak JDT itu masih dalam proses pemulihan di kelab.
Hal ini susulan Harimau Malaya dalam misi sukar untuk mencari 8 jaringan sambil mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri dapat membanru.
“Saya fikir mustahil sebab dia pun baru baik daripada kecederaan. Akan tetapi, jika dia (Arif) dan Kim Pan-gon sudah bersedia untuk ambil risiko maka pasukan negara ada pilihan.
“Arif Aiman seorang pemain yang bagus dan profesional, dia menjaga tubuh badan dan stamina dengan baik namun terpulang kepada kepada jurulatih untuk memanggilnya pada saat-saat akhir bagi perlawanan penting.
Safee bagaimanapun menganggap bahawa keserasian juga amat penting tatkala kurang 48 jam sahaja sebelum aksi bermula.
“Keserasian antara pemain amat penting terutama untuk perlawanan getir ini. Ini risiko yang perlu difikirkan barisan kejurulatihan,” katanya kepada Astro Arena.
Aksi Malaysia menentang Chinese Taipei akan berlangsung pada 11 Jun 2024 di SNBJ jam 9 malam.