Safiq Rahim Buktikan Dirinya Masih Berbisa

cropped Safiq Rahim Buktikan Dirinya Masih Berbisa
Johor Southern Tigers
Hakim Johari @HakimJohari4
11:50am 05/07/2023

Safiq Rahim yang kini menginjak usia 36 tahun membuktikan dirinya masih berbisa apabila turut menyumbang gol dalam kemenangan besar JDT ke atas KL City tempoh hari. Hari ini (5 Julai), Safiq Rahim rasminya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-36.

Pemain tengah veteran ini hanya bermain sebanyak 36 minit buat JDT musim ini dan diturunkan dalam 3 perlawanan selaku pemain gantian iaitu sewaktu menentang Perak, PDRM dan KL City. Namun impak Safiq Rahim setiap kali diturunkan membuktikan dirinya masih relevan mengawal jentera tengah JDT.

JDT kini dilimpahi pemain bintang di bahagian tengah seperti Nazmi Faiz, Juan Muniz, Afiq Fazail, Leandro, Hong Wan, Endrick dan ramai lagi.

Namun ketenangan Safiq Rahim setiap kali diturunkan memperlihatkan kualitinya selaku bekas pemenang Pemain Paling Berharga (MVP) Piala AFC 2015.

Safiq mudah memecahkan blok pertahanan KL City tempoh hari setelah menerima hantaran Juan Muniz untuk menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Super musim ini.

Musim lalu, Safiq Rahim merekodkan 25 penampilan dalam semua pertandingan dan berjaya menyumbang 1 gol dan 5 bantuan jaringan buat JDT.

Di usia 36 tahun, Safiq Rahim telah memenangi semua piala bersama JDT seperti kejuaraan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC. Safiq juga antara tunjang utama pasukan kebangsaan sewaktu menjulang Piala AFF Suzuki 2010 yang lalu.

Pencapaian individu Safiq Rahim juga luar biasa apabila pernah memenangi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan Pemain Tengah Terbaik 2011 dan 2012 bersama Selangor. Bersama JDT, Safiq Rahim memenangi Pemain Paling Bernilai Piala AFC 2015, Anugerah Bola Sepak Kebangsaan Pemain Tengah Terbaik 2015, Pemain Paling Bernilai 2015 dan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan Pemain Tengah Terbaik 2016.