Safiq Rahim kini menjangkau usia 34 tahun dan kembali menyertai Johor Darul Ta’zim dan berjaya memperoleh debut dalam saingan tertinggi kelab-kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC.
Aksinya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC terima pujian penyokong JDT yang menganggap bekas pemain dengan kepakaran bola mati ini masih berbisa mengemudi bahagian tengah.
Dalam kalangan penyokong Harimau Malaya juga ada yang bersetuju sekiranya beliau kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.
Safiq Rahim Lagenda Yang Perlu Disanjung
Kepulangan semula perancang tengah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim ini menjadi satu kegembiraan buat penyokong Harimau Selatan khususnya dan peminat bola sepak tanah air umumnya. Setelah hampir dua musim menabur bakti di bumi Melaka, bekas kapten JDT ini membuat keputusan untuk pulang ke kelab lamanya itu.
Walaupun beliau jarang diturunkan dalam saingan Liga Super musim ini disebabkan terdapat banyak pilihan untuk mengetuai jentera tengah pasukan, Safiq tidak pernah menghampakan penyokong setiap kali diberi peluang untuk beraksi. Bekas kapten Harimau Malaya ini nyata masih mempunyai sentuhan ampuhnya dalam menggerakkan serangan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain berusia 34 tahun ini hanya bermain 5 perlawanan dalam kesemua 13 perlawanan liga super yang telah berlangsung musim ini. Beliau juga hanya berjaya membuat 2 penampilan dalam kesebelasan utama ketika menentang UITM Fc dan juga Penang Fc.
Sungguhpun begitu, penampilannya bersama JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membuktikan bahawa beliau masih mempunyai sentuhan berbisanya. Safiq memperagakan persembahan yang cukup memukau ketika merakam kemenangan 1-0 ketika menentang Ratchaburi Fc.
Pemain yang mesra dipanggil Copot ini dilihat cukup selesa mengawal jentera tengah pasukan ketika digandingkan bersama Leandro Velasquez dan juga Natxo Insa. Ketenangan, ketepatan dan visi hantaran beliau yang masih tajam boleh dilihat menerusi hantaran-hantaran tepat yang dilakukan kepada barisan penyerang JDT.
Hal ini menjadi bualan warganet yang rata-ratanya kagum dengan kesungguhan Safiq beraksi di pentas berprestij tersebut. Malah, terdapat rakan-rakan seperjuangannya yang melihat aksinya seperti Shukor Adan, Razman Roslan dan juga Baddrol Bakhtiar turut menyatakan hal yang sama.
Setelah hampir dua bulan Liga Super berehat untuk memberi ruang kepada kempen kelayakan Piala Dunia yang melibatkan pasukan kebangsaan, Liga Super akan kembali berlangsung pada 24 Julai 2021 iaitu pada hari Sabtu ini. Oleh itu, rata-rata peminat bola sepak Harimau Selatan ingin melihat kelibat Safiq Rahim dengan lebih kerap beraksi mengawal jentera tengah pasukan itu.
Usia bukanlah penghalang buat dirinya memandangkan pengalaman yang dimilikinya beraksi di peringkat tertinggi amat berguna untuk terus memberi nilai tambah kepada pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu. Hal ini bagi memastikan pasukan kendalian Benjamin Mora itu terus gah di tangga teratas bagi menjuarai liga buat kali ke-8 berturut-turut.