Advertisement
Safuwan Baharudin Bakal Kembali Ke Selangor?
Transfer
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin diura-ura bakal menyarung kembali jersi pasukan Selangor FC.

Ini selepas bekas bek tengah Sri Pahang FC itu sah meninggalkan Negeri Sembilan FC secara persetujuan bersama hari ini.

Menerusi ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di Twitter hari ini, Safuwan lebih memilih untuk kekal beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Justeru, bekas bek tengah PDRM FC itu bakal menyertai sebuah pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang atau utara tanah air.

Perkara ini turut disahkan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran yang mendedahkan Red Giants mahu mendapatkan khidmatnya semula.

Berita ini mematikan spekulasi yang mengaitkan Safuwan dengan perpindahan ke Thai League 1. Sebelumnya, BG Pathum United dan Nakhon Pathom United dilaporkan berminat mendapatkan khidmat beliau.

Safuwan merekodkan 12 penampilan bersama skuad Rusa musim ini. Penampilan terakhirnya bersama pasukan itu ialah sebagai pemain gantian semasa menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 8 Julai lalu.