Kapten pasukan Singapura, Safuwan Baharudin mengakui sebak apabila berjaya menebus kekecewaan lalu Singapura dengan membawa pasukan itu ke saingan separuh akhir kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024.
Singapura tersingkir di peringkat kumpulan dalam edisi lalu yang menyaksikan Safuwan Baharudin berada di barisan tempat duduk penyokong ekoran kecederaan.
“Saya tidak beraksi dalam kejohanan lalu dan saya beremosi kerana ketika itu saya berada di tempat duduk penyokong. Saya mengalami kecederaan yang teruk.
“Saya beremosi kerana ibu bapa saya ada di sini. Kami tahu ini akan menjadi aksi yang sukar. Saya rasa kami telah melakukan kerja dengan bagus.
“Sentiasa sukar untuk bermain di Bukit Jalil. Saya ada pengalaman yang buruk berdepan Johor (JDT). Perkara itu bermain-main dalam fikiran saya tetapi kami semua telah melakukan yang terbaik.
“Saya mengalami pelbagai kesukaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan isu kecederaan. Apa yang penting adalah dedikasi.
“Apa yang saya mahukan adalah kembali dan membuktikan kepada semua. Saya telah buat yang terbaik dan dua perlawanan lagi untuk kami tempuhi.” ujar Safuwan setelah tamat perlawanan.
Singapura mengikat Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menamatkan aksi peringkat kumpulan di tangga kedua dengan mengumpul 7 mata.
Vietnam, Indonesia dan Myanmar antara pasukan yang berpotensi menjadi lawan Singapura untuk aksi separuh akhir Piala ASEAN kelak.