Bek tengah baru Selangor FC, Safuwan Baharudin mengakui ada menerima tawaran daripada beberapa kelab Thai League selepas meninggalkan Negeri Sembilan FC.
Tetapi beliau pada akhirnya memilih Red Giants kerana melihat lebih baik menghabiskan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Memang dari awal saya ada terima tawaran dari Liga Thailand. Tetapi apabila hubungan saya dengan Negeri Sembilan (di mana) kita bersetuju untuk penamatan (kontrak), beberapa tawaran dari T2 (Thai League 2), mungkin satu dari T1 (Thai league 1) dan beberapa lagi dari Liga Malaysia.
“Bukan saya rancang untuk ambil keputusan itu jadi keputusan itu saya rujuk dengan ibu bapa saya. Dan mereka katakan lebih baik saya kekal di Liga Malaysia untuk enam bulan terakhir. Jadi, keputusan saya dengan Selangorlah,” katanya kepada media rasmi Merah Kuning hari ini.
Jawapan Safuwan mengesahkan khabar perpindahan sebelum ini yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Thai League.
Bek tengah Singapura itu turut mengakui perpindahannya ke kelab gergasi Lembah Klang itu didorong keinginan bekerjasama dengan bekas jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Malah, beliau juga dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri kerana sudah mengenali rakan-rakan lama yang pernah beraksi bersamanya dari 2020 hingga 2022.
“Pada masa sama, satu perkara yang menarik saya untuk datang ke sini ialah saya tidak pernah bermain di bawah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
“Selain itu, hubungan dengan rakan-rakan sepasukan Red Giants akan membantu saya melaksanakan tanggungjawab saya di sini, terutama dari segi komunikasi dan keserasian kerana lebih separuh daripada mereka merupakan rakan-rakan sepasukan saya sebelum ini.
“Saya juga berharap persefahaman dengan pemain-pemain import dan beberapa pemain tempatan baru dapat diwujudkan,” tambahnya.
Kelibat Safuwan dijangka akan dapat dilihat dalam aksi Liga Super seterusnya membabitkan Selangor FC dan Penang FC pada 15 Julai ini.