Safuwan Baharudin Teruja Kembali Beraksi Di Hadapan Penyokong Sendiri

Safuwan Baharudin 3 Safuwan Baharudin Teruja Kembali Beraksi Di Hadapan Penyokong Sendiri
FA Singapore
Nabil Fahmi @nabilfamy
9:56am 21/11/2023

Selepas tewas pada aksi sulung Kelayakan Piala Dunia 2026 di tangan Korea Selatan, Singapura mahu bangkit semula dalam perlawanan kedua menentang Thailand malam ini (21 November).

Pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin telah melaungkan keyakinan untuk mendapatkan tiga mata di hadapan ribuan penyokong sendiri kerana perasaannya amat berbeza.

“Rasa seronok dapat kembali terutama bermain di tempat sendiri. Terdapat jangkaan tinggi daripada penyokong kita tapi itu akan memotivasikan kita untuk memperbaiki kesilapan semasa menentang Korea Selatan dan beraksi lebih bagus menentang Thailand.

“Secara peribadi, beraksi di Stadium Nasional (Singapura) merupakan pendorong utama buat saya dan rakan-rakan sepasukan. Kita akan berikan yang terbaik, tunjukkan persembahan yang bagus dan meraih kemenangan ke atas Thailand,” tegas Safuwan dalam sidang media pra perlawanan.

Singapura dijangka berdepan Thailand tanpa tonggak pertahanan mereka, Irfan Fandi yang dikhabarkan mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Korea Selatan tempoh hari.

Manakala bagi Thailand, mereka dijangka turut berdepan situasi sukar dengan dua pemain utama mereka iaitu Chanathip Songkrasin dan Pansa Hemviboon yang dikhabarkan tidak dapat diturunkan juga kerana kecederaan.

Kedua-dua pasukan ini masih lagi mencari mata pertama dalam dalam Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas kedua-duanya tewas dalam aksi sulung.