Wira Qatar di final AFC Asian Cup, Akram Afif menjawab mengenai sambutan jaringannya yang unik ketika menewaskan Jordan semalam.
Beliau yang ditemui selepas perlawanan mendedahkan bahawa ia adalah penghormatan kepada isterinya, yang pertama kali menghadiri perlawanan di stadium untuk menonton perlawanan bola sepak.
“‘S’ ialah huruf pertama nama isteri saya, dia berasal dari Kuwait. Perlawanan hari ini adalah yang pertama dia di stadium”, katanya kepada Gulf Times.
Afif melakukan keraian tersebut setelah menyempurnakan penalti pertama buat pasukan tuan rumah yang dihadiahkan pengadil dari China, Ma Ning pada minit ke-22.
Beliau kemudiannya meluru ke tepi padang dan meraikan golnya dengan menghasilkan kad permainan dengan gambarnya sebelum imej itu bertukar kepada “S”.
Keraian unik ini seterusnya menjadi persoalan orang ramai mengenai huruf ‘S’ tersebut malah menjadi tumpuan media seluruh dunia.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Lusail, Qatar yang juga juara bertahan cemerlang menumbangkan Jordan 3-1 hasil hatrick penalti Akram Afif pada minit ke-22, 73 dan 90.
Manakala gol saguhati Jordan disumbang penyerang sensasi mereka, Yazan Al-Naimat pada minit ke-67.
Tiga gol beliau pada perlawanan itu seterusnya mengangkat beliau sebagai pemain terbaik kejohanan dan juga penjaring terbanyak dengan lapan gol.