Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dato’ Mohd Joehari Mohd Ayub memberi bayangan pemain warisan yang bakal menyarung jersi kebangsaan.
Perkara ini dinyatakan olehnya pada sesi sidang media di Majlis sambutan hari raya MFL-FAM-AFL baru-baru ini mengenai persiapan pasukan kebangsaan menjelang aksi kedua, Kelayakan Piala Asia 2027.
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya kini giat untuk mencari lawan bagi aksi persahabatan bulan Jun ini sebelum Malaysia melayan kunjungan The Golden Star.
Hal ini bagi memastikan para pemain bersedia sepenuhnya tatkala saingan Liga Super juga sudah menamatkan tirainya.
Joehari Ayub juga yakin usaha untuk memuktamadkan pemain warisan baharu juga sedang giat diusahakan untuk memperkuat pasukan kebangsaan.
“Satu pemain sudah lepas (proses dokumentasi), yang lain masih dalam proses.
“Sempat bermain menentang Vietnam? Kita doa sahajalah. Satu sudah lepas, dua lagi masih dalam proses,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa jumlah 7 orang pemain warisan yang dinyatakan oleh DYAM Tunku Ismail itu sedang diteliti dan proses sedang berlangsung ketika ini.
Aksi Malaysia menentang Vietnam dijadualkan berlangsung pada 10 Jun 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 9 malam.