Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor melihat terdapat ramai pemain yang menjadi mangsa cadangan orang luar.
Baginda dalam satu kenyataan baru-baru ini seolah-olah menyampaikan teguran kepada pemain Harimau Selatan yang memilih untuk dipinjamkan ke kelab lain.
Hal ini susulan terdapat beberapa kelab yang mengalami masalah luar padang sekali gus menjejaskan perjalanan mereka bersama kelab tersebut musim ini.
Tunku Ismail yakin bahawa setiap perkara yang telah dinasihati olehnya kini benar-benar menjadi realiti yang menimpa pemain.
“Dah bertahun cakap. Apa sahaja saya cakap yang diperlekehkan semua jadi kenyataan. Dulu masa gaji stabil, menang piala, tempat latihan bagus dan main kejohanan antarabangsa, cari penyakit dengar cakap penyokong.
“Individu yang menasihati itu tiada dalam industri bola sepak, tetapi bersuara macam seolah olah lebih tahu pasal bola sepak dan berpengalaman dalam arena bola sepak.
Tunku Ismail memberikan gambaran kekecewaan selepas situasi yang melanda pemain pinjamannya yang tidak mendapat kualiti setaraf apabila beraksi bersama kelab lain.
“Kononnya nasihatkan untuk keluar dari JDT untuk dapat lebih minit permainan. Akhirnya, gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada dan main pertandingan antarabangsa pun tiada,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tunku Ismail juga menganggap bahawa situasi yang melanda para pemain ini disebabkan lebih memilih untuk mendengar pandangan daripada pihak luar daripada bola sepak.
“Seorang demi seorang jadi mangsa dengar cakap orang. Kalau nak dipinjamkan pun biar kelab bantu jadi gaji tak jadi isu, bukan buat sendiri semata mata dengar cakap orang. Sekarang bila dah susah mana muka-muka yang menasihat semua?,” tambahnya.