Berita mengenai kehadiran tonggak baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Fabio Gonzalez dan juga kaitan dengan tonggak Harimau Malaya, Gabriel Palmero mencuri tumpuan.
Laporan daripada penyampai radio Radio Nacional de Espana, Norberto Gonzalez Mencara telah memaklumkan bahawa Gonzalez bakal menjadi bekas pemain Las Palmas ketiga menyertai JDT selepas Jese Rodriguez dan Jonathan Viera.
“Pemain tengah Gran Canaria, Fabio González kini pemain baru untuk pasukan Johor Darul Ta’zim dari Malaysia.
“Bekas pemain remaja UD Las Palmas yang menamatkan musim di CD Tenerife telah menyertai kelab Malaysia di mana Jonathan Viera dan Jese juga bermain. Selamat berjaya!” katanya di X.
Beliau telah beraksi sebanyak 13 perlawanan bersama CD Tenerife dalam saingan LaLiga2 namun belum menjaringkan sebarang gol.
Tonggak tengah versatil ini beraksi buat CD Tenerife di Sepanyol dan memiliki persamaan dengan pemain warisan baharu Harimau Malaya, Gabriel Palmero.
Pemain berusia 23 tahun itu menjadi tonggak warisan terbaru pasukan kebangsaan dan baru sahaja melakukan debut bersama skuad utama CD Tenerife.
Gabriel Palmero turun beraksi selama 45 minit selaku pertahanan kiri pasukan sebelum digantikan oleh Jeremy Mellot pada separuh masa kedua perlawanan.
Beliau telah mendapat tempat dalam senarai awal 28 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski bagi kem latihan pusat bermula pada Ahad, 18 Mei ini.