Advertisement
Saudi Super Cup: Al-Hilal Muncul Gergasi Arab Saudi, Tewaskan Al-Ittihad
Asia
MakanBola
Al-Hilal Saudi Club

Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal menggondol trofi pertama mereka untuk musim 2023/24 dengan muncul juara Saudi Super Cup awal pagi ini.

Kejayaan ini dicapai selepas mengatasi seteru tradisi, Al-Ittihad di pentas final yang berlangsung di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi.

Dengan rekod lima kemenangan daripada lima pertemuan lepas, The Blue Waves dilihat pasukan pilihan untuk menggondol gelaran juara berbanding The Tigers.

Dan anak buah Jorge Jesus tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi Malcom seawal minit kelima.

Al-Hilal bernasib malang apabila pembantu pengadil video (VAR) mengesan kekasaran ke atas Abderrazak Hamdallah dalam kotak penalti pada minit ke-19. Selepas memeriksa insiden di monitor, penalti diberi kepada Al-Ittihad.

Penalti yang diambil penyerang Maghribi itu pada awalnya dinafikan rakan senegara, Yassine Bounou sebelum sepakan susulannya menerjah jaring pada minit ke-21.

Kapten Al-Hilal, Salem Al-Dawsari memastikan mereka mendahului pelawat sehingga rehat separuh masa menerusi gol pada minit ke-44.

Bersambung pada babak kedua, The Blue Waves terus mengancam pertahanan The Tigers. Malangnya, banyak percubaan mereka digagalkan barisan pertahanan Al-Ittihad diketuai kapten, Ahmed Hegazy.

Al-Hilal perlu menunggu sehingga minit ke-89 untuk menambah gol ketiga menerusi Malcom.

Pemain gantian, Nasser Al-Dawsari memastikan kemenangan The Blue Waves dalam genggaman dengan gol keempat pada minit ke-96.

Sumbangan dua gol Malcom memastikan beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan Sofascore dengan markah 9.2.

Al-Hilal berpotensi meraih tiga lagi trofi iaitu Saudi Pro League, King’s Cup dan Liga Juara-Juara AFC (ACL).