Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria mempertahan keputusan membawa keluarga beliau ke temasya Olimpik atas sebab kuota khas.
Kelmarin tular satu ciapan di laman X yang mempersoalkan kehadiran ahli keluarga Tan Sri Norza yang terdiri daripada anak dan isterinya yang berada di venue kejohanan sambil memakai kad akreditasi.
Oleh disebabkan itu, Tan Sri Norza menegaskan bahawa beliau membawa keluarganya atas kuota khas yang dimilikinya dan tidak melibatkan atlet atau kontinjen.
”Sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) saya diberi peruntukan untuk bawa tetamu sendiri,” ujar Tan Sri Norza kepada Malaysiakini.
”Saya ada kuota khas, tidak ada kena mengena dengan atlet,” tambah beliau lagi.
Berita ini secara tidak langsung mengundang kemarahan orang ramai memandangkan ada atlet Malaysia yang tidak dapat membawa jurulatih atas sebab kad akreditasi yang terhad.
Sebelum ini, atlet perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa terbang ke Paris seorang diri tanpa ditemani jurulatihnya, Nova Armada kerana bilangan kad akreditasi yang tidak mencukupi.