Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba optimis untuk terus memberikan aksi yang terbaik bersama pasukan kebangsaan setelah berjaya menewaskan Filipina.
Jaringan Syamer Kutty dan Safawi Rasid telah membawa Malaysia ke perlawanan akhir kejohanan Pestabola Merdeka 2024 untuk aksi menentang Lubnan.
Pemain berusia 27 tahun itu membarisi kesebelasan utama Harimau Malaya dan menjaringkan gol pertama pasukan sebelum tamat aksi babak pertama.
Syamer Kutty mengakui masih ada beberapa perkara yang dirinya harus perbaiki ketika bermain dan beliau bertekad untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.
“Saya melalui banyak detik sukar dalam hidup saya seperti masalah kecederaan tetapi sekarang saya kembali dan jurulatih memberikan peluang untuk saya bermain.
“Peluang ini untuk membuktikan saya mampu beri yang terbaik kepada pasukan tetapi saya juga tak boleh katakan saya kini lebih bagus berbanding sebelumnya.
“Namun sentiasa ada ruang untuk memperbaiki perkara tersebut dan saya akan buat lebih baik selepas ini dalam perlawanan yang saya bermain.” ujar Syamer Kutty.
Harimau Malaya akan turun menentang cabaran Lubnan pada 8 September kelak di gelanggang keramat Stadium Nasional Bukit Jalil.