Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yakin dengan kemampuan yang dimiliki pasukan bola sepak Malaysia.
Pengendali berusia 55 tahun itu dalam sidang media khas pengumuman perletakan jawatan menjelaskan beliau sudah membina satu sistem yang mampu mengangkat skuad Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi.
“Saya sudah bina sistem, Harimau Malaya tak akan goyah selepas ini. Kita sudah ada filosofi pasukan, Malaysia akan terus menyerang dan kuasai permainan. Bagi saya taktikal yang diterapkan, kita sudah berjaya. Saya sudah mula membina karakter Malaysia, positif, agresif dan tak mudah tunduk kepada lawan.”
“Biarpun sebelum ini beberapa kali kita dibolosi awal, tapi kita berjaya bangkit. Lawan Korea Selatan umpamanya, tapi kita bangkit dan seri pada akhirnya. FAM juga sudah berbelanja besar untuk menjayakan sistem Harimau Malaya ini.”
Ketua jurulatih asal Korea Selatan ini juga mengharapkan FAM mengekalkan pembangunan akar umbi sedia ada kerana Malaysia mempunyai pelapis dan potensi yang besar.
“Malaysia masih banyak potensi yang kita perlu capai. Dari segi akar umbi, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) misalnya amat bagus. Saya dah buat separuh, kem kebangsaan kita sentiasa positif dan ketika ini bola sepak Malaysia ada potensi yang besar jadi kita perlu capai pada tahap yang lebih tertinggi,” kata Kim Pan-gon.
Kim Pan-gon meletak jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya berkuatkuasa serta merta kerana komitmen peribadi. Untuk rekod, pengendali berusia 55 tahun itu dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan Malaysia sejak Jun 2022.
Beliau kecapi pelbagai kejayaan bersama Harimau Malaya seperti mara ke Piala Asia 2024, menjadi Naib Juara Pestabola Merdeka 2023 dan Naib Juara King’s Cup pada tahun 2022.