Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memohon maaf tidak dapat memberikan kemenangan dalam aksi final Pestabola Merdeka 2023 bertemu Tajikistan malam semalam.
Ketika ditemu bual dalam sesi sidang media selepas perlawanan, beliau menjelaskan aksi bertemu pasukan di ranking ke-110 dunia itu merupakan perlawanan yang sukar.
Beliau menjelaskan pemain Harimau Malaya telah memberikan sepenuh keringat dan bermain sehabis baik sepanjang 90 minit permainan.
“Hari ini kita perlu menangis bersama namun kita harus terus maju kehadapan.”
“Ada beberapa mesej saya terima yang kritik saya, saya terima kritikan itu kerana saya dapat gaji. Tetapi pemain tidak dapat apa-apa, mereka dipanggil ke kem kebangsaan dan datang berjuang untuk Malaysia,” ujar Kim Pan-gon.
Beliau menyeru agar rakyat Malaysia bersabar dan menerima keputusan semalam sebaiknya. Pengendali dari Korea Selatan ini tidak mahu anak buahnya dikecam atas kekalahan yang dialami pasukan ketika ini.
“Mereka (pemain) tak layak untuk dikecam sebegini. Bagi saya cara kita bermain untuk menang tidak ada masalah. Pemain hanya ikut cara dan taktikal saya. Kita mencuba tapi bukan setiap masa kita mampu beri kemenangan.”
“Kita tak boleh kata apa-apa kerana mereka berlari sepanjang aksi. Kamu boleh lihat mereka bermain bagaimana malam ini, jadi saya tak boleh kritik apa-apa. Walaupun pemain itu melakukan kesilapan, apa hak saya untuk menyalahkan dia.”
“Semua orang boleh melakukan kesilapan. Saya buat kesalahan lebih banyak dari mereka (pemain), saya buat pertukaran, pemilihan, persediaan dan perancangan. Mereka tidak dapat apa-apa, saya dapat gaji. Kalau kalian kritik saya, saya terima tapi jangan kecam mereka.”
Harimau Malaya bakal meneruskan cabaran seterusnya di kempen Kelayakan Piala Dunia 2026. Aksi seterusnya menyaksikan Malaysia dijadualkan bertemu Kyrgyzstan pada 16 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.