‘Saya Pun Kalah Sebelum Juara Dunia’ Superbon Yakinkan Johan Ghazali
UltraSukan
Instagram/Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Thailand, Superbon Singha Mawynn berharap Johan Ghazali tidak putus asa dan bangkit daripada kekalahan yang dialaminya baru-baru ini.

Pesanan itu dikongsikan juara dunia ONE Kickboxing Featherweight itu apabila diminta mengulas tentang kekalahan Johan di tangan jaguh Lubnan, Ramadan Ondash.

Superbon mengakui dalam kariernya, beliau pernah mengalami banyak kekalahan lebih daripada apa yang dialami jaguh berusia 19 tahun itu.

Pada masa sama, jaguh Thailand berusia 35 tahun itu tidak pernah berputus asa sehingga dapat menjadi juara dunia. Atas sebab itu, Superbon mahu Johan yang mesra disapa Jojo agar kekal positif dan tidak putus asa dalam memburu kejayaan.

“Saya kalah lebih banyak daripada apa yang dialami Jojo sebelum ini tapi saya jadi juara dunia. Anda telah menunjukkan cara betul dan berubah dalam banyak segi dan jadi lebih baik.

“Anda akan jadi juara dunia. Jangan sedih, kembali gimnasium, teruskan kerja keras dan anda akan jadi yang terbaik,” katanya kepada ONE Championship.

Selepas tewas kepada Ramadan, Johan sudah menyatakan keazaman untuk bangkit semula dan kembali cemerlang di gelanggang.