Sebelum ini timbul desas-desus yang mengatakan pemain naturalisasi negara yang juga kapten Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue akan berhijrah ke kelab baharu musim hadapan.
Namun khabar angin tersebut kini boleh dilupakan apabila Paulo Josue mengatakan bahawa beliau masih mempunyai kontrak bersama KL City dan akan kekal bersama kelab tersebut musim hadapan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran melalui satu perkongsian di laman X milik beliau.
“Saya masih ada kontrak (bersama KL City). Jadi sudah pasti saya sampai mati Kuala Lumpur (saya bersama Kuala Lumpur sehingga saya mati),” kongsi Avineshwaran di laman X milik beliau.
Antara pasukan yang dikaitkan untuk membawa masuk Paulo Josue sebelum ini adalah Terengganu FC yang juga finalis Piala Malaysia musim ini.
Pemain berusia 34 tahun itu telah mewakili Kuala Lumpur sejak pertengahan musim 2017 lagi dan beliau tidak pernah berpindah ke mana-mana pasukan sejak itu.
Untuk musim ini, Paulo Josue telah diturunkan dalam 29 perlawanan melibatkan KL City dalam kesemua kejohanan domestik dan berjaya meledak 11 gol keseluruhan selain turut menyumbang 8 bantuan gol.
KL City kini berada di tangga ke-7 Liga Super dengan mengumpul 37 mata. Mata yang sama turut direkodkan oleh pasukan di tangga ke-6, Terengganu FC dan pasukan di tangga ke-8, PDRM FC.