Bojan Hodak seakan tidak tahu apa solusi kepada isu kelalaian anak-anak buahnya setiap kali turun bermain. Disebabkan kelalaian mereka, KL City tewas kepada Selangor 3-1 dalam perlawanan Liga Super semalam – satu isu yang membuatkan pengendali dari Croatia itu hilang sabar bila memikirkannya.
City Boys terlebih dahulu mendahului menerusi Tchetche Kipre pada minit ke-24. Bagaimanapun, kesilapan individu masing-masing dilakukan oleh Kamal Azizi Mohamad Zabri dan penjaga gol Azri Ghani menyaksikan Merah Kuning menyumbat dua gol menerusi penalti Ayron Del Valle dan Faisal Halim.
Del Valle kemudiannya menyumbat gol ketiga pada minit ke-53 walaupun cuba disekat barisan pertahanan City Boys. Kelalaian sebegini jika berterusan boleh menyebabkan KL City terus kempunan meraih kemenangan pertama liga musim ini.
“Saya sentiasa marah dengan pemain-pemain saya. Kita sentiasa marah sebab kita nak menang. Bila anda beri terlampau banyak gol mudah, pasukan akan hilang keyakinan.
“Jadi ini satu isu yang besar (kepada pasukan) sekarang ini. Dua minggu lepas, kita mendahului dua gol (perlawanan menentang Kelantan) dan minggu ini satu gol, kemudiannya kita beri gol mudah. Bahagian ini (penting) bila kita ingin menamatkan permainan,” katanya kepada Astro Arena untuk temubual selepas perlawanan.
Selain kelalaian pemain terutama di barisan pertahanan, ketiadaan pemain tengah Sebastian Avanzini juga turut dirasai anak-anak buah Bojan. Avanzini yang berperanan melindungi bahagian pertahanan tidak dapat diturunkan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.
Tanpa kelibat pemain import Itali itu, jentera tengah Selangor diketuai kapten Brendan Gan mendominasi bahagian tengah padang. Ditambah dengan kesilapan-kesilapan individu, ia merupakan satu malam malang buat anak-anak buah Bojan.
“Tiada, nampaknya kita beri (mereka) dua penalti. Mereka (pemain-pemain KL City) menjadi pemain berbeza berbanding pada minggu lepas. Ini satu masalah, masalah kita ialah di bahagian pertahanan dan tengah terutama posisi nombor enam.
“Kita tidak mempunyai khidmat Sebastian Avanzini dan anda boleh lihat tiada kesinambungan antara pertahanan dengan serangan. Jadi, secara dasarnya, bahagian tengah mereka (Selangor) memasuki ruang kita dan menghasilkan tambahan pemain, satu kelebihan yang dimanfaatkan mereka.
“Tambahan, kita beri mereka dua penalti mudah (yang terhasil akibat) kesilapan individu. Ini sesuatu yang kita tak boleh terima,” tambahnya.