Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail kecewa dengan keadaan padang dan infrastruktur kelab di Malaysia.
Aksi Liga Super tertunda menyaksikan pertemuan antara Perak dan JDT tidak dapat diteruskan susulan permukaan padang yang berlecak.
Perkara ini jelas mendukacitakan DYAM Tunku Ismail yang sudah menyatakan perkara ini sejak sekian lama namun kelab-kelab di Malaysia tidak mengendahkan tegurannya.
“Kita benar-benar perlu mengubah minda dan keutamaan dalam hal infrastruktur bola sepak jika kita mahu bersaing dengan negara jiran.
“Infrastruktur akan membantu kita meningkatkan kualiti bola sepak di negara kita. Saya telah mengatakannya selama 10 tahun yang lalu,” jelas DYAM Tunku Ismail.
Sebelum ini, baginda telah menyatakan bahawa kelab lebih sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan pemain berbanding mengutamakan peningkatan kualiti padang dan gaji pemain.
“Dapat padang percuma pun tak terima. Pasal tak sanggup maintain padang RM200,000 setahun. Pemain berjuta boleh beli, kerusi stadium berjuta boleh bayar.
“Padang RM200,000 setahun dan gaji pemain tak boleh bayar. Amat memalukan. Musim tengkujuh dah nak mula. Berapa aksi lagi nak kena tunda? Membazir, dan sangat memalukan,” tambah baginda.
Aksi Perak dan JDT akan dibawa ke satu tarikh yang belum diumumkan oleh MFL.