Pemain tengah Terengganu FC, Habib Haroon mengakui terharu dengan sokongan yang diberi penyokong terutama dalam aksi terakhir Liga Super menentang Perak FC pada Ahad lalu.
Habib dilaporkan bakal meninggalkan skuad Penyu selepas tamat kempen Liga Super musim 2023. Beliau menjadi tonggak utama di bahagian tengah Terengganu selama tiga musim.
Malah, pemain berusia 23 tahun itu turut diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan termasuk dalam aksi final Piala Malaysia 2023.
Menerusi satu video yang dimuatnaik pengguna TikTok, Nadhieerah semalam, Habib mengakui tersentuh dengan sentimen yang ditunjukkan penyokong Peteh kepadanya.
Sokongan yang diberi mereka akan sentiasa tersemat di hatinya setiap kali terfikir tentang Terengganu.
“(Sokongan penyokong Terengganu) ini akan tersemat dalam hati saya. Pada masa akan datang, saya akan kembali ke sini lagi. Ini rumah saya.
“Oh, Tuhan. Anda tahu satu perkara dalam hidup saya ialah saya tidak pernah merasai kasih sayang sebegini. Dan saya tahu mereka akan sentiasa ada dalam hati saya.
“Saya tidak akan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Kita akan berjumpa lagi, jangan ucap selamat tinggal kepada mereka. Saya sayangkan hati saya (yang berada) di sini.
“Karier saya (bersama Terengganu) mungkin berakhir tetapi saya akan semat memori ini dalam hati saya. Saya tidak akan melupakan mereka, saya masih menyayangi anda (para penyokong).
“Saya tidak pernah merasai sokongan sebegini dalam hidup saya. Ini sesuatu yang mengagumkan. Ini gila,” katanya selepas perlawanan.
Sepanjang bersama Terengganu, Habib telah merekodkan 69 penampilan mengikut maklumat Transfermarkt. Tempoh sama turut menyaksikan beliau telah menjaringkan tiga gol dan empat bantuan gol.
Habib menutup kempen Terengganu dengan kemenangan apabila membantu mereka membenam cabaran Perak 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Video Penuh: Habib Haroon Terharu Dengan Sokongan Penyokong Terengganu