Jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki seakan tak percaya tetapi gembira selepas melihat anak-anak buahnya menewaskan Ulsan Hyundai dalam aksi kedua Kumpulan I hari ini.
Ini disebabkan Gremio mempunyai rekod buruk dengan The Tigers setiap kali bertembung dalam ACL.
Dalam tujuh pertemuan terakhir mereka yang direkodkan Sofascore, Ulsan tidak pernah kalah dengan tiga kemenangan dan empat seri. Justeru, tidak hairanlah di atas kertas, kelebihan tampak memihak kepada pelawat.
Perlawanan hari ini seakan memihak kepada The Tigers sehinggalah kapten Frontale, Kento Tachibanada menyumbat gol kemenangan pada minit ke-89.
“Saya sangka agak sukar untuk mengalahkan Ulsan (Hyundai) di peringkat Asia. Tetapi kita berjaya kekalkan tumpuan sehingga akhir perlawanan,” katanya selepas perlawanan hari ini seperti dilaporkan Sponichi Annex.
Kemenangan ini memastikan Frontale berada di tangga teratas Kumpulan I dengan enam mata dan tidak bolos selepas dua perlawanan.
Manakala Ulsan pula berada di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata di belakang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dari segi perbezaan jaringan.