“Saya Tidak Pernah Sahkan Faisal Halim Naik Toyota Vellfire” – Ketua Polis Negara
MakanBola
PDRM
Sponsors

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan beliau tidak pernah menyebut pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim menaiki Toyota Vellfire.

Sebelum ini, satu laporan yang tular mengatakan Faisal menaiki kenderaan tersebut apabila menjadi mangsa simbahan asid dalam satu insiden di Lembah Klang pada 5 Mei lalu.

Ad

Walau bagaimanapun, video rakaman litar tertutup (CCTV) yang tular baru-baru ini menunjukkan bintang Selangor FC itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali sebelum menuju ke kereta BMW miliknya.

Ad

Razarudin menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya memaklumkan kejadian itu berlaku apabila Faisal menghampiri keretanya dan suspek menunggang motosikal.

Beliau turut mengesahkan laporan yang tular itu tidak mendapat pengesahan mana-mana pegawai polis bertanggungjawab yang menjalankan siasatan kes tersebut.

Ad

“Kita sama sekali tidak pernah ada keluarkan kenyataan kereta digunakan Toyota Vellfire, mahupun daripada saya (KPN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain atau Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan).

Ad

“Yang didedahkan sebelum ini adalah Faisal sedang berjalan ke arah keretanya dan suspek dipercayai menunggang motosikal.

Ad

“Jadi tidak timbul isu bercanggah laporan dikeluarkan polis. Ia dilaporkan media, tidak tahu sumber mereka daripada mana,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Razarudin kemudiannya mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi tentang siasatan kes.

Beliau turut memaklumkan sekiranya PDRM memiliki maklumat terbaru tentang kes Faisal, maklumat itu akan dikongsikan kepada media.

Susulan kejadian pada 5 Mei itu, Faisal mengalami kelecuran tahap empat kerana terkena asid sulfurik. Ini menyebabkan beliau perlu menjalani empat pembedahan bagi membantu proses pemulihannya.

Faisal kini dilaporkan semakin pulih dan dijangka dibenarkan pulang ke rumah tidak lama lagi. Dan bagi membantu proses pemulihannya, Selangor bakal merangka satu program pemulihan khas buat beliau.