Scott O’Donell Kenal Pasti Punca Malaysia Tak Layak Ke Piala Asia B-17
MakanBola
FA Malaysia
Sponsors

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell melihat skuad Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) akan terus bergelut tanpa pertandingan liga B-15 dan B-16.

Pandangan ini dilontarkan beliau apabila diminta mengulas tentang faktor kegagalan skuad Javier Jorda Ribera layak ke Piala Asia B-17 2025.

Ad

Skuad Malaysia B-17 yang berada dalam Kumpulan H gagal mengiringi juara kumpulan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke pusingan akhir di Arab Saudi.

Ini selepas skuad muda negara diikat 2-2 oleh tuan rumah pusingan kelayakan Kumpulan H, Laos pada 27 Oktober lalu.

Ad

O’Donell melihat skuad muda negara sudah menjalani persiapan yang baik untuk kejohanan. Ini termasuk tiga aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Tajikistan sebelum mereka bertolak ke Laos.

Ad

Meskipun begitu, tanpa saingan liga kebangsaan kategori B-15 dan B-16, ini menyukarkan pemain kategori usia berkenaan mendapatkan minit permainan yang kerap dan kompetitif.

Ad

Atas sebab itu, O’Donell melihat kewujudan liga ini penting demi meningkatkan kualiti skuad muda negara terutama skuad Malaysia B-17.

“⁠Tiada alasan (gagal layak). Kami menjalani kem latihan pusat yang baik di Johor yang mana kami bermain tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura (menang 4-0) dan Tajikistan (kalah 2-1 & seri 1-1).

“Tapi kami tidak cukup bagus pada aksi sebenar iaitu saingan kelayakan di Vientiane apabila tewas 2-0 kepada UAE dan seri 2-2 dengan tuan rumah, Laos.

“Jujur saya katakan, kita akan terus bergelut untuk layak ke Piala Asia B-17 pada masa akan datang jika kita tidak mempunyai platform untuk pemain-pemain terbaik B-15 dan B-16 kita ini bermain perlawanan kompetitif secara tetap,” katanya.

O’Donell turut berpandangan Malaysia perlu memiliki pangkalan pemain yang lebih besar daripada terus bergantung kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).

Ini kerana pangkalan pemain yang lebih besar membantu jurulatih mengenal pasti lebih ramai pemain berbakat yang boleh diketengahkan untuk skuad negara.

“Dengan adanya liga kebangsaan B-15 dan B-16, ia akan dapat memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka di sepanjang musim.

“Ia membolehkan jurulatih dan pencari bakat kami memerhati dan mengenal pasti pemain berbakat yang berpotensi di seluruh negara di sepanjang musim dan bukan hanya melihat mereka secara ‘one-off’ dalam satu perlawanan persahabatan.

“Sama juga dengan cadangan saya untuk menambahkan lagi bilangan perlawanan dalam pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden,” ujarnya.

Mengikut struktur liga peringkat bawah umur kebangsaan yang ada ketika ini, terdapat Liga Piala Menteri Pendidikan (B-14), Liga Piala Remaja KPM-FAM (B-17), Piala Belia (B-18) dan Piala Presiden (B-20).

Kegagalan ini menyaksikan Malaysia tidak dapat mengiringi tiga negara ASEAN ke Piala Asia B-17 2025. Tiga negara tersebut ialah Thailand, Indonesia dan Vietnam.