Selepas beberapa bulan jawatan Pengarah Teknikal FAM kosong selepas perletakan jawatan Datuk Ong Kim Swee, akhirnya jawatan tersebut digalas oleh bekas pemain import Kuala Lumpur Scott O’Donnell. Bekas jurulatih Kemboja itu memeterai kontrak dengan FAM untuk tempoh tiga tahun. Ia diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan hari ini.
Selain pernah menguruskan Kemboja, O’Donnell juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) dan badan induk bola sepak wanita Australia, Capital Football. Bagaimanapun, beliau telah meninggalkan organisasi itu pada November lepas. O’Donnell juga turut membantu Geylang United bergelar naib juara Liga Singapura (Liga-S) pada 2003.
Semasa aktif sebagai pemain, kebanyakan karier permainan beliau berkisar dengan pasukan-pasukan Australia. Tetapi pada 1993, O’Donnell berkelana ke Asia Tenggara dengan beraksi bersama Kuala Lumpur selama semusim. Dari situ, beliau menghabiskan beberapa musim bersama Tampines Rovers dan Marine Castle United (kini Hougang United).
Ramai berharap perlantikan O’Donnell ini dapat membantu pembangunan akar umbi kembali ke landasan sebenar. Dan seperti Bojan Hodak, diharap bekas pemain Australia itu menekankan soal autonomi dalam tugasnya sebagai pengarah teknikal. Jika tidak, bersedialah para peminat bola sepak dengan skrip sama yang pernah dialami Peter De Roo dan Tan Cheng Hoe sebelum ini.