Jurulatih baharu Kelantan Red Warrior, Irfan Bakti Abu Salim mengimbau era kegemilangan kelab itu suatu ketika dahulu sebelum adanya pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pada Khamis lalu, Kelantan Red Warrior mengumumkan Irfan Bakti Abd Salim sebagai jurulatih yang bakal mengemudi era baharu kelab dari Pantai Timur itu bermula musim hadapan.
“Kelantan Red Warrior FC dengan rasmi mengumumkan pelantikan Irfan Bakti Abu Salim sebagai Ketua Jurulatih,” umum pihak kelab menerusi satu kenyataan.
Tidak lama kemudian, Irfan Bakti diperkenalkan secara rasmi dalam satu sesi sidang media yang diadakan di Hotel Grand Riverview sambil ditemani presiden kelab, Nik Hafiz Naim Nik Hassan
Menurut Irfan, beliau berasa teruja untuk menyahut cabaran dan tugasan kali ini dan bersedia untuk membawa Kelantan Red Warrior ke satu tahap yang selayaknya buat pasukan ini.
”Kita akan cuba bawa kembali di mana Kelantan sepatutnya berada,” jelas Irfan Bakti dalam sesi sidang media tersebut.
Tambah Irfan, rakyat serta penyokong Kelantan amat fanatik dan meminati sukan bola sepak bahkan sempat mengimbau era kegemilangan negeri itu sebelum hadirnya pasukan JDT ketika ini.
“Sebab orang Kelantan ini pelik (dalam hal) bola ini dan gila, Kelantan ini gila,” tambah bekas jurulatih pasukan Selangor, Terengganu dan Kuching City itu.
“Sebelum JDT gila, kita (Kelantan) gila dulu (dan menjadi) pelopor dalam arena bola sepak Malaysia dan barulah JDT,” kata Irfan Bakti lagi kepada pihak media.
Pasukan Kelantan sememangnya cukup disegani suatu ketika dahulu apabila pernah memenangi gelaran treble pada tahun 2012 bersama jurulatih berpengalaman, Bojan Hodak.
Antara nama-nama besar yang memperkuat Kelantan pada zaman tersebut adalah Khairul Fahmi Che Mat, Badhri Radzi, Indra Putra, Nor Farhan Mohammad dan Dickson Nwakaeme.
Seiring waktu berjalan, jaguh Pantai Timur itu mengharungi kemerosotan prestasi dan peralihan pemilik menyebabkan identiti Kelantan FA sudah tiada lagi dalam arena bola sepak Malaysia.
Sejak itu, JDT yang diambil alih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada tahun 2013 mula mempamer taring dengan pelbagai kejuaraan di peringkat domestik dan Asia.